SIRUL’S SIGNED UNSWORN STATEMENT (IN MALAY) 4th February 2009
The defence of the 2nd Accused by way of his unsworn written statement (exh D441) are
as follows:
“Pada 18 Oktober 2006 saya bertugas di pejabat Unit Tindakan Khas (UTK, Bukit Aman, Kuala Lumpur. Saya telah menghadiri taklimat penugasan pada pagi tersebut dan telah diberi tugasan sebagai pemandu “standby” pada waktu pejabat. Sekiranya ada pegawai atau anggota yang ingin ke mana atas urusan tugas, saya ditugaskan untuk memandu mereka. Pada sebelah pagi 18 Oktober 2006, Azilah Hadri (OKI 1) ada menghubungi saya melalui telefon bimbit dan meminta saya berjumpa dengannya. Azilah ada bertanya dengan saya tentang penugasan saya pada hari tersebut dan saya memaklumkan beliau mengenai penugasan waktu pejabat saya sebagai pemandu waktu “standby”. Dalam perbualan telefon tersebut, saya bertanyakan Azilah lokasi beliau berada dan Azilah telah memberitahu saya bahawa beliau berada di Jalan Ampang, berhampiran Ampang Point menuju ke Central Market. Azilah mahu berjumpa dengan saya di Central Market. Di samping itu, Azilah juga bertanyakan saya samada saya tahu lokasi Hotel Malaya. Saya memberithau Azilah saya tidak tahu lokasi Hotel Malaya, malah saya tidak pernah mendengar nama Hotel tersebut walaupun saya telah tinggal di Kuala Lumpur hampir 10 tahun. Saya turut memberitahu Azilah bahawa saya sibuk pada ketika itu dan tidak dapat bertemu dengannya. Walau bagaimanapun, saya menyatakan kesediaan saya untuk bertemu beliau setelah saya selesai bertugas. Pada masa tersebut, saya sedang memandu DSP Khairi ke kawasan Gombak atas urusan pembelian barang-barang pejabat UTK. Tidak lama selepas itu Azilah menelefon sayasemula dan meminta saya bertemu dengannya juga setelah selesai urusan pembelian barangan UTK.
Sekembali ke pejabat, setelah selesai memandu DSP Khairi, saya telah menelefon Azilah dan bertanyakan lokasi tepat bagi pertemuan kami. Azilah menetapkan tempat pertemuan kami di hentian bas/teksi bersebelahan Central Market. Setiba saya di hentian bas/teksi tersebut pada jam 2.00 petang 18 Oktober 2006, Azilah memang sedia menunggu. Saya memperlahankan kenderaan di pinggir jalan raya bersebelahan hentian itu dan Azilah terus naik kereta saya. Pada masa tersebut saya memandu kereta model Proton Satria. Kemudian Azilah mengarahkan saya memandu di sekeliling Kuala Lumpur untuk mencari lokasi Hotel Malaya tetapi setelah lama berlegar-legar kami gagal menjumpai hotel tersebut. Azilah kemudian mengarahkan saya untuk memandu keluar dari kawasan Kuala Lumpur menuju ke Damansara. Saya bertanya kepada Azilah apakah tujuan mencari Hotel Malaya dan apakah tujuan untuk ke Damansara? Azilah memberitahu saya beliau ada kerja yang hendak dilaksanakan dan meminta saya mengikutinya sahaja. Dalam perjalanan ke Damansara, Azilah ada menceritakan kepada saya bahawa DSP Musa Bin Safri telah memberitahu beliau hal seorang kawan DSP Musa yang sedang menghadapi “masalah perempuan”. Azilah mengarahkan saya untuk memandu ke rumah kawan DSP Musa yang dimaksudkan di Bukit Damansara. Menurut Azilah kawan DSP Musa adalah seorang yang berjawatan tinggi, seorang ahli perniagaan dan seorang yang berada. Walau bagaimanapun, Azilah tidak mendedahkan kepada saya identiti kawan DSP Musa itu. Sepanjang perjalanan tersebut Azilah juga menceritakan kepada saya bahawa seorang perempuan dan seorang lelaki yang dipercayai abang kepada perempuan tersebut, kedua-duanya berbangsa Cina telah mengganggu dan membuat kecoh di hadapan rumah kawan DSP Musa. Menurut Azilah lagi, perempuan itu adalah kekasih lama kawan DSP Musa tersebut. Setiba di Bukit Damansara, Azilah telah mengarahkan saya untuk memasuki satu kawasan taman perumahan dan kami tiba di sebuah rumah banglo. Azilah meminta saya memperlahankan kenderaan dan sewaktu melalui di hadapan rumah banglo tersebut, Azilah memberitahu saya bahawa itulah rumah kawan DSP Musa yang dimaksudkan. Setelah meninggalkan kawasan tersebut, Azilah meminta
saya mengingati jalan ke banglo tersebut. Menurut Azilah, beliau telah berjanji kepada DSP Musa untuk membantu kawan DSP Musa untuk membuat rondaan di sekitar kawasan banglo tersebut dari masa ke semasa di luar waktu berugas untuk mengelakkan perempuan dan lelaki Cina tersebut membuat kecoh di hadapan rumah kawannya. Pada tahap ini, Azilah telah memohon bantuan saya dan bertanya sekiranya beliau mempunyai tugasan rasmi di luar Kuala Lumpur adakah saya sanggup menolong beliau membuat rondaan di sekitar kawasan berkenaan dari masa ke semasa sekiranya saya tidak mempunyai sebarang tugas rasmi. Saya bersetuju berbuat demikian kerana saya mengenali DSP Musa dan saya melihat tugasan ini sebagai bantuan yang dipinta oleh DSP Musa, seorang pegawai atasan saya. Saya beranggapan bahawa persetujuan saya untuk membantu Azilah adalah sebenarnya persetujuan saya untuk berkhidmat kepada pegawai atasan saya.
Daripada Bukit Damansara Azilah mengarahkan saya untuk memandu semula ke Central Market kerana kereta beliau masih berada di tempat letak kereta di Central Market. Ketika dalam perjalanan, Azilah memberitahu saya bahawa perempuan dan lelaki Cina tersebut tinggal di Hotel Malaya. Pada ketika itu, barulah saya menyedari bahawa tujuan Azilah mencari lokasi Hotel Malaya adalah untuk mengenal pasti tempat tinggal perempuan dan lelaki Cina itu. Sepanjang saya bersama Azilah dalam perjalanan tersebut, beliau tidak pernah menunjukkan apa-apa dokumen, kertas ataupun nota yang mengandungi sebarang maklumat tentang identiti kawan DSP Musa, alamat tempat tinggal, alamat hotel, nombor telefon, mahupun identiti perempuan serta lelaki Cina tersebut. Sewaktu kami hampir tiba di Central Market, Azilah mengarahkan saya untuk memberhentikan kenderaan saya di luar Central Market kerana beliau ingin berjumpa rakannya, yang merupakan seorang pelukis di central market untuk bertanyakan lokasi Hotel Malaya. Saya memasuki kawasan letak kereta Central Market dan menunggu di dalam kereta selama sepuluh minit sementara Azilah masuk ke dalam Central Market. Tidak lama kemudian, Azilah mengetuk cermin kereta saya dan memberitahu saya bahawa Hotel Malaya hanya terletak di kawasan sekitar Petaling Street, tidak jauh daripada Central Market. Azilah menyuruh saya mematikan enjin kereta dan mengikutinya ke Hotel Malaya secara berjalan kaki.Setibanya di Hotel Malaya, kami masuk ke ruang lobi. Azilah menyuruh saya mengambil risalah, katalog dan sebaran yang terdapat di sudut maklumat di lobi Hotel tersebut. Kemudian Azilah berjalan ke ruang lif dan mengajak saya memasuki lif untuk ke tingkat atas. Azilah menekan butang didalam lif tersebut tetapi saya tidak tahu ke tingkat berapa. Apabila lif berhenti dan pintunya terbuka, Azilah mengajak saya keluar dari lif tersebut. Saya tidak tahu di tingkat berapa saya berada pada masa tersebut tetapi jika tidak silap saya, lif tersebut berhenti di tingkat tujuh. Saya mengikut Azilah dari belakang dan tiba-tiba Azilah berhenti di hadapan sebuah bilik yang pintunya tertutup. Saya tidak mengingati berapakah nombor bilik tersebut. Pada masa itu, Azilah tidak berkata apa-apa kepada saya. Saya bertanya Azilah apa yang ingin beliau lakukan? Azilah berkata beliau berhasrat untuk berjumpa perempuan dan lelaki Cina itu untuk menasihati mereka agar tidak menganggu atau membuat kecoh di hadapan rumah kawan DSP Musa lagi. Kemudian Azilah memberitahu saya bahawa beliau tidak begitu pasti samada bilik berkenaan adalah bilik yang sebenarnya dihuni oleh perempuan dan lelaki Cina itu. Selepas itu Azilah mengajak saya beredar dari situ. Kami menaiki lif dan turun semula ke lobi Hotel Malaya. Kami kemudiannya keluar dari pintu utama meninggalkan Hotel Malaya dan berjalan kaki semula ke tempat letak kereta Central Market. Di tempat letak kereta berkenaan, Azilah menyuruh saya pulang ke pejabat sahaja dan sekiranya bantuan saya diperlukan beliau akan menelefon saya. Saya memandu pulang ke pejabat UTK.
Pada 19 Oktober 2006, lebih kurang jam 8.45 malam, saya berada di rumah saya di Kota Damansara dan sedang menonton televisyen. Tiba-tiba saya menerima satu panggilan telefon daripada Azilah yang meminta saya datang ke rumah kawan DSP Musa yang kami kunjungi siang tadi di Bukit Damansara. Menurut Azilah beliau menerima maklumat bahawa perempuan dan lelaki Cina tersebut berada di hadapan rumah kawan DSP Musa dan Azilah memerlukan bantuan sokongan daripada saya jika sekiranya lelaki Cina tersebut bertindak ganas. Saya memberitahu Azilah saya akan segera siap dan pergi ke sana. Lebih kurang lima minit kemudian, saya keluar meninggalkan rumah saya dengan menaiki kenderaan jeep saya dan memasuki tol Kota Damansara di lebuh raya NKVE untuk ke Bukit Damansara. Dalam perjalanan ke rumah kawan DSP Musa di sekitar kawasan Bukit Damansara, saya terlupa lokasi tepat rumah tersebut dan terpaksa menelefon Azilah untuk mendapatkan panduan arah. Tidak lama selepas itu, Azilah menghubungi saya semula untuk bertanyakan samada panduan arah yang beliau berikan telah membolehkan saya menemui lokasi rumah tersebut. Saya memberitahu Azilah saya sudah hampir tiba. Setiba di kawasan berhampiran rumah kawan DSP Musa, saya telah memberhentikan kenderaan di tepi sebuah simpang tiga dan berjalan kaki menuju ke rumah tersebut. Semasa menghampiri rumah tersebut, saya nampak Azilah sedang bercakap-cakap dengan seorang perempuan Cina dan seorang lelaki India bertubuh gempal. Apabila Azilah nampak saya menghampiri rumah tersebut beliau telah membuat isyarat tangan kepada saya yang kelihatan seolah-olah menyuruh saya masuk ke dalam kereta Wira Aeroback berwarna merah yang ada berhampiran rumah banglo itu. Saya menurut arahan Azilahdan memasuki kereta tersebut. Saya duduk di kerusi sebelah pemandu dan saya dapati ada seorang perempuan Melayu sedang duduk di kerusi pemandu.
Tidak lama selepas itu, saya nampak perempuan Cina tersebut berjalan menuju ke kereta Wira Aeroback merah berkenaan sambil didikuti oleh Azilah, meninggalkan lelaki India bertubuh gempal tersebut. Perempuan Cina tersebut terus membuka pintu penumpang belakang kereta tersebut dan memasukinya. Perempuan Melayu yang pada mulanya duduk di tempat pemandu itu membuka pintu kenderaan dan keluar daripadanya dan kemudian memasuki semula ke tempat duduk belakang. Azilah memasuki kenderaan dan duduk di tempat pemandu. Sewaktu Azilah hendak memulakan pemanduan, seorang lelaki Cina datang menjenguk tingkapnya. Lelaki Cina itu menuntut tambang teksi yang belum dijelaskan oleh perempuan Cina tersebut. Azilah telah menghulurkan sekeping
wang RM50.00 tetapi pemandu teksi itu berkata tidak cukup kerana tambang yang sepatut diterimanya adalah RM150.00. Azilah menghulurkan dua keping lagi wang RM50.00 kepada pemandu teksi itu. Kemudian kami beredar meninggalkan kawasan rumah banglo tersebut. Setiba di simpang tiga tidak jauh dari situ, saya meminta Azilah menurunkansaya di situ untuk saya kembali ke kenderaan saya.
Kemudian saya memandu kenderaan saya untuk keluar dari kawasan tersebut. Saya dapat melihat bahawa kereta Azilah mengekori saya dari belakang. Apabila kami keluar semula ke jalan utama iaitu Jalan Damansara menuju ke Jalan Duta, Azilah telah menghubungi saya melalui telefon dan meminta saya memberhentikan kenderaan di tepi jalan raya. Sewaktu itu, saya sedang memandu di sekitar kawasan di mana terletaknya Bangunan Amanah Raya yang lama. Saya memberhentikan kenderaan di tepi sebuah perhentian bas dan saya lihat Azilah turut memberhentikan kenderaan di belakang saya. Kemudian Azilah turun dari keretanya dan menghampiri kenderaan saya. Saya menurunkan cermin dan Azilah berkata beliau sedang menasihati perempuan Cina tersebut dan berdasarkan perilaku dan respon perempuan Cina tersebut, Azilah mengatakan beliau mempercayai perempuan Cina itu kelihatan seolah-olah menerima nasihat yang telah beliau berikan. Kemudian Azilah bertanya pada saya ke mana saya ingin pergi. Saya memberitahu Azilah bahawa memandangkan keadaan adalah terkawal dan saya tidak mempunyai apa-apa peranan lagi saya ingin pulang ke rumah. Azilah kata “Ok”. Selepas itu, saya meneruskan pemanduan dari Jalan Damansara membelok sebelah kiri ke Jalan Duta yang menghala kearah lebuhraya NKVE dan Kompleks Kerajaan Jalan Duta. Sebelum membuat belokan yang menghala ke NKVE, saya telah menghubungi Azilah melalui telefon untuk bertanyakan samada saya perlu membuat rondaan di kawasan rumah kawan DSP Musa pada hari keesokannya memandangkan Azilah akan bertugas di Putrajaya. Azilah memberitahu saya beliau sedang bercakap dengan perempuan Cina tersebut dan meminta saya menghubungi beliau semula dalam tempoh 5 minit. Setelah membuat belokan ke arah NKVE, dan membuat belokan kiri sekali lagi menghala ke Penchala Link, dan sewaktu saya berada di kawasan komersial Sri Hartamas, saya telah menghubungi semula Azilah untuk bertanyakan soalan yang sama. Menurut Azilah, beliau telahpun menasihati perempuan Cina tersebut dan perempuan itu bersetuju untuk tidak mengganggu atau membuat kecoh di hadapan rumah kawan DSP Musa lagi, Azilah memberitahu saya bahawa saya tidak perlu membuat rondaan pada keesokan hari, sebaliknya, sekiranya dapat laporan gangguan atau kekecohan daripada kawan DSP Musa, barulah Azilah akan menghubungi saya. Selepas perbualan tersebut, saya telah memberhentikan kenderaan di tempat letak kereta di kawasan komersial Sri Hartamas dan pergi ke Restoran Devi’s Corner untuk minum, makan tosai sambil mengimbas majalah “Motor Trader”. Lebih kurang 20 minit kemudian, saya memandu semula kenderaan keluar dari kawasan komersial Sri Hartamas menuju ke lebuhraya NKVE. Saya telah memasuki plaza tol Jalan Duta dan keluar di plaza tol Kota Damansara. Daripada plaza tol Kota Damansara, saya memandu selama lebih kurang 5 minit untuk kembali ke rumah saya. Saya tiba di rumah saya lebih kurang jam 10.00 malam. Kemudian pada sekitar jam 12.00 tengah malam, saya sekali lagi memandu kenderaan saya keluar daripada rumah menghala ke plaza tol Kota Damansara menuju ke plaza tol Jalan Duta dan seterusnya ke Kampung Baru Kuala Lumpur untuk bersahur.
Sebelum 31 Oktober 2006, saya telah menerima arahan daripada ACP Mastor untuk menjalankan tugas litupan keselamatan ke atas YAB Perdana Menteri di Islamabad, Pakistan selama 10 hari bermula daripada 31 Oktober 2006 sehingga 9 November 2006. Sebelum berlepas ke Paskitan, saya telah meninggalkan kenderaan jeep saya di tempat letak kereta di perkarangan Bukit Aman dan meninggalkan kunci kepada kenderaan tersebut dalam tray kunci di Pejabat saya. Saya telah berpesan kepada Sarjan Rosli untuk mengambil kunci daripada tray sekali-sekala dan menghidupkan enjin kenderaan saya. Sebelum berlepas ke Pakistan, saya telah mengemas kenderaan saya dan menyusun rapi barangan-barangan dalamnya. Di antara barangan di dalam kenderaan saya pada masa tersebut adalah sepasang selipar berwarna merah yang saya sisipkan dengan rapi di tepi kotak plastik yang besar di bahagian belakang (“boot”) kenderaan saya. Semasa perbicaraan ini, saya telah berkesempatan melihat gambar bernombor 12 di dalam P25 dimana selipar berwarna merah ini boleh kelihatan tersisip rapi di bahagian paling kanan. Selipar ini bersaiz 8, menurut saiz kaki saya. Semasa perbicaraan saya juga berkesempatan melihat gambar-gambar bernombor 35 sehingga 41 dalam P25 yang menunjukkan sepasang selipar berwarna putih bertulis “BNA” di atas pelapiknya dan bertulis “HEAT ADSAWD” di atas galangnya. Saya tidak pernah melihat ataupun memiliki mahupun memakai selipar ini. Bahkan semasa saya meninggalkan kenderaan saya di tempat letak kereta Bukit Aman pada 31 Oktober 2006, selipar ini tidak berada di dalam kenderaan saya. Selipar ini juga tidak sesuai dengan saiz saya.
Pada waktu pagi 5 November 2006, saya bertugas sebagai pengawal peribadi kepada Perdana Menteri di mana ketika itu Perdana Menteri berada di dalam bilik persidangan sebuah hotel di Islamabad. Tiba-tiba, datang DSP Fisal meminta saya naik ke atas untuk menyediakan makanan kepada seorang bergelar Dato’. DSP Fisal mengarahkan saya untuk menyerahkan tugas. Saya telah naik ke bilik dan mendapati rakan sekerja saya telah bersedia untuk membuat pertukaran tugas. Saya telah serahkan pistol kepada rakan saya dan saya berehat di dalam bilik beliau sementara menantikan arahan selanjutnya untuk penyediaan makanan. Tidak lama selepas itu, pintu bilik diketuk dan saya membukanya, dan mendapati ACP Mastor terpacul di muka pintu semasa Sarjan Jelima serta Korporal Zamri dari UTK. ACP Mastor mengarahkan saya untuk pulang ke Malaysia di atas alasan bahawa bekas isteri saya telah membuat laporan polis terhadap saya dan saya perlu pulang untuk menyelesaikan masalah berkenaan. Saya, ACP Mastor, Sarjan Jelima dan Korporal Zamri berlepas dari Islamabad ke Malaysia menaiki kapal terbang. Setiba di KLIA pada 6 November 2006, terdapat pegawai dan anggota UTK telah bersedia menanti kami di aero bridge. Saya dibawa ke dalam kenderaan pasukan dan dipandu ke IPK Kuala Lumpur (“IPK KL”). Tiba di IPK KL, saya diserahkan oleh ACP Mastor kepada DSP Can di pejabat D9 IPK KL. Di Pejabat D9, saya telah disoalsiasat selama lebih kurang setengah jam. Tidak lama selepas itu, datang seorang anggota yang saya kenali sebagai Sarjan Amran yang telah mengenakan sebelah gari ke tangan saya dan sebelah lagi gari ke tangannya. Kemudian muncul ASP Tonny yang mengarahkan saya dibawa ke Pajero Pasukan. Saya dibawa turun melalui lif bersama ASP Tonny, Janagaren, ASP Zulkarnain dan beberapa anggota D9 yang lain termasuk seorang jurugambar yang menggalas kamera video yang besar di bahunya. Tiba di bawah saya diarahkan menaiki sebuah Pajero. Kedudukan saya dalam Pajero adalah di bahagian tengah tempat duduk belakang, di kanan saya Sarjan Amran dan di sebelah kiri saya ASP Zulkarnain. Pemandu ketika itu ialah Korporal Khairuddin manakala ASP Tonny duduk di sebelah pemandu. Di belakang barisan tempat duduk saya, adalah Janagaren dan jurugambar yang membawa kamera video tersebut. Kenderaan Pajero kami bergerak secara konvoi mengikuti kenderaan Pajero serta kenderaan-kenderaan pasukan yang lain menuju ke Jalan Hang Tuah, Jalan Lapangan Terbang Lama melintasi bangunana Dewan Bahasa Dan Pustaka, Jalan Istana melintasi Istana Negara, Muzium negara, Jalan Duta dan masuk ke susur lebuhraya NKVE di plaza tol Jalan Duta dan keluar di plaza tol Kota Damansara. Selepas keluar dari plaza tol tersebut, kami mengekori kenderaan-kenderaan pasukan yang lain dan berhenti di luar kampus UiTM Puncak Alam. Sepanjang perjalanan kami, saya tidak perasan jika ada sesiapa di dalam kenderaan kami yang memandu arah perjalanan. Saya tidak berbuat demikian dan saya tidak diminta berbuat demikian. Kemudian konvoi kami bergerak semula daripada kampus UiTM Puncak Alam menuju ke Klang. Tiba di satu simpang empat, konvoi bergerak secara perlahan dan kenderaan Pajero yang saya naiki terus melepasi simpang empat dan membelok ke sebelah kanan memasuki satu lorong hutan. Di kawasan semak tersebut, ASP Tonny mengarahkan saya turun dari kenderaan. Kami berlegar-legar selama lebih kurang 20 minit sebelum ASP Tonny mengarahkan saya naik semula ke kenderaan Pajero. Kenderaan kami keluar semula dari kawasan tersebut. Tiba-tiba telefon bimbit ASP Tonny berdering, dan saya melihat ASP Tonny menjawab panggilan tersebut. Sejurus selepas panggilan tersebut, ASP Tonny menyatakan kepada ASP Zulkarnain dan pemandu bahawa “Ini jalan silap”. ASP Tonny mengarahkan pemandu menuju ke simpang empat semula. Di simpang empat, pemandu kenderaan kami membelok ke sebelah kiri jalan dan kami berhenti. Selepas itu, ASP Tonny sekali lagi menjawab telefon beliau yang berdering. Selepas itu, ASP Tonny mengarahkan pemandu untuk membelok ke sebelah kiri sekali lagi ke dalam kawasan hutan. Kenderaan kami mendaki bukit sehinggalah sampai ke satu kawasan lapang. Di sana, saya dapat melihat sebuah Pajero pasukan berwarna biru telahpun berada di kawasan lapang tersebut. Sebelum turun dari kenderaan, saya dapat melihat Azilah, Chief Inspector (“C/I”) Koh Fei Chow, DSP Zainuddin serta beberapa orang lelaki berpakaian preman telahpun berlegar-legar di kawasan lapang itu. Saya hanya diarahkan oleh ASP Tonny untuk turunkan dari Pajero dan berdiri bersebelahan Pajero sahaja. Sewaktu hari hampir senja, saya diminta naik semula ke dalam Pajero dan kenderaan kami bertolak pulang ke IPK KL.
Pada 7 November 2006, saya dibawa keluar dari lokap lebih kurang jam 11.00 pagi untuk dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur bagi tujuan reman. Setelah selesai urusan reman, saya dibawa ke pejabat ASP Zulkarnain yang terletak di pejabat D9 IPK KL. Saya sampai di pejabatnya dalam keadaan bergari dan melihat ASP Zulkarnain telah berada di dalam biliknya bersama C/I Koh Fei Chow. Terdapat dua kerusi sahaja di dalam biliknya yang agak sempit. ASP Zulkarnain duduk di kerusi di hadapan mejanya dan saya diarahkan duduk menghadapnya sementara C/I Koh Fei Chow berdiri di sebelah ASP Zulkarnain pada ketika itu. Ada ketikanya C/I Koh Fei Chow keluar dan masuk ke dalam bilik itu. ASP Zulkarnain sentiasa berada bersama saya sejak awal sehingga akhir perjumpaan. Seingatan saya, C/I Koh Fei Chow banyak kali keluar dan masuk bilik tersebut dan setiap kali beliau keluar, beliau berada di luar bilik di antara 4 ke 5 minit. Di dalam bilik itu, ASP Zulkarnain ada bertanyakan soalan-soalan kepada saya, saya menjawab mana yang saya tahu dan menyatakan tidak tahu kepada soalan-soalan yang mana jawapan terhadapnya saya tidak tahu. Dalam tempoh pertemuan saya dengannya, saya tidak pernah menyatakan kepada ASP Zulkarnain bahawa saya ingin membuat sebarang pendedahan. Saya juga sama sekali tidak pernah menyatakan kepadanya yang saya ingin memberi sebarang maklumat. Saya tahu apa itu “Amaran” (Caution). Di dalam pertemuan saya dengan ASP Zulkarnain, beliau langsung tidak membaca kepada saya “Amaran” tersebut. Setiap kali saya menjawab tidak tahu kepada soalan-soalan beliau, ASP Zulkarnain meninggikan suara dan pada satu ketika dalam nada suara yang tinggi, beliau berkata “Kamu bercakaplah yang benar, apa yang kamu tahu beritahulah saya, kamu adalah seorang anggota, kami akan menolong kamu, hal ini tak akan dibawa ke Mahkamah”. Saya hanya mendiamkan diri. Pada satu ketika yang lain, ASP Zulkarnain ada meninggikan suara dan berkata dengan nada yang tegas dan marah kepada saya “Engkau jangan buat aku layan engkau macam OKI lain”. Masa itu mukanya merah, beliau berdiri dan kemudian duduk semula. Saya takut beliau pukul saya macam OKI lain. Saya terfikir kalau saya bukan anggota, sudah tentu ASP Zulkarnain akan pukul saya. ASP Zulkarnain terus mengajukan soalan-soalan kepada saya yang mana jawapannya saya tidak tahu. Apabila saya terus-menerus menjawab tidak tahu, ASP Zulkarnain bangun dan menghentak meja dan berkata “Macam nilah Sirul, kalau kau setuju, engkau ikut aku, kau camkan barang-barang tu, kau pegang dan tunjuk ke arah barang itu sambil camera man ambil gambar, aku boleh tolong engkau dan hal ini kita tidak akan bawa ke Mahkamah”. Semasa beliau berkata begitu, C/I Koh Fei Chow tiada di dalam bilik. Semasa itu suara ASP Zulkarnain perlahan dan saya percaya beliau akan menolong saya. Saya diamkan diri dan tidak bertanya apa-apa tentang ke mana saya akan dibawa pergi dan apa maksud ASP Zulkarnain tentang barang-barang yang beliau ingin saya tunjukkan nanti.
Semasa di dalam bilik ASP Zulkarnain, saya tidak nampak sesiapa menaip kecuali di akhir pertemuan bila mana ASP Zulkarnain membuka laptop beliau dan menaip sesuatu. Ini berlaku selepas ASP Zulkarnain bercakap dengan nada perlahan dan meminta saya mengikut beliau mengecam barang-barang. Semasa itu saya tidak melihat C/I Koh Fei Chow apa-apa langsung, cuma beliau ada membawa masuk sehelai A4 di atas arahan ASP Zulkarnain. 5 minit selepas ASP Zulkarnain selesai menaip saya dibawa keluar oleh C/I Koh Fei Chow ke bilik mesyuarat D9 dan ditinggalkan disitu selama lebih kurang 20 minit. Selepas itu saya dibawa turun oleh Korporal Chiam, ASP Zulkarnain, C/I Koh Fei Chow dan C/I Shawal menaiki lif ke sebuah kenderaan Pajero. Saya mengikuti mereka tanpa bertanya apa-apa. Setelah menaiki Pajero tersebut, pemandu iaitu Korporal Khairuddin telah memandu menuju ke Jalan Duta kemudian ke susur masuk lebuhraya NKVE, ke plaza tol Jalan Duta dan keluar melalui plaza tol Kota Damansara.
Semasa itu, saya merasakan mereka hendak menuju ke kediaman saya. Terdapat sebuah kenderaan Volvo berwarna putih berlambang PDRM mengekori Pajero kami. Apabila diarahkan oleh ASP Zulkarnain, Pajero kami bergerak terus ke kawasan flat tempat saya tinggal dan berhenti di bawah flat. Semasa dalam perjalanan, tiada sesiapa bertanyakan saya lokasi kediaman saya. Saya dan anggota di dalam Pajero hanya berbual mengenai tugas-tugas UTK dan tugas-tugas di luar Negara. Saya sendiri juga tidak ada memberitahu pegawai dan anggota mengenai alamat rumah saya. Saya juga tidak diminta untuk memandu arah ke kediaman saya di sepanjang perjalanan tersebut. Saya nampak Unit Pemusnah Bom (UPB) bersama kereta Volvonya turut berhenti di perkarangan flat kediaman saya. Selepas itu, ASP Zulkarnain, C/I Koh Fei Chow dan saya bersama anggota lain keluar dari Pajero. Sepanjang perjalanan sehinggalah tiba di flat kediaman saya, tangan saya sentiasa bergari ke tangan Korporal Chiam. Di bawah flat, saya nampak pegawai dari UTK iaitu DSP Yusri, Sarjan Rosli dan Sarjan Zafri turut berada di situ. Saya nampak Sarjan Rosli mengeluarkan segenggam anak kunci yang banyak dan menyerahkan kepada C/I Koh Fei Chow. Anak-anak kunci tersebut adalah di dalam satu rangkaian yang berankum bersekali. Kunci untuk rumah saya ada banyak dan bukannya serangkai tiga batang anak kunci seperti yang ditunjukkan di dalam mahkamah. Saya melihat Sarjan Rosli menyerahkan serangkai kunci tersebut kepada C/I Koh Fei Chow dan saya tahu ianya adalah kunci rumah saya kerana kunci rumah saya telah lusuh warnanya dan bukannya berkilat seperti yang ditunjukkan kepada saya di dalam Mahkamah. Kunci rumah saya ini telah saya serahkan kepada ACP Mastor semasa saya dalam penerbangan dari Islamabad ke KLIA.
Selepas Sarjan Rosli menyerahkan kunci, saya melihat C/I Koh Fei Chow telah serahkan pula kunci tersebut kepada ASP Zulkarnain. Selepas itu, ASP Zulkarnain membawa saya naik ke atas diekori oleh C/I Koh Fei Chow, DSP Yusri, Sarjan Rosli dan Sarjan Zafri. Saya mengekori mereka dari belakang dengan tangan bergari ke tangan Korporal Chiam. Semasa naik ke atas pun, ASP Zulkarnain tidak meminta daripada saya alamat tepat rumah saya. Semasa itu, jurugambar Kamarulzaman, Khairuddin dan UPB belum naik lagi. C/I Shawal naik bersama mengekori saya dari belakang. Kemudian saya dibawa ke tingkat 3, sampai dihadapan di rumah saya bernombor 5-3-7. Pintu rumah saya dibuka oleh ASP Zulkarnain dan kesemua yang naik tadi masuk ke dalam rumah. ASP Zulkarnain masuk dahulu dan kemudian mengarahkan saya dan Korporal Chiam duduk di kerusi meja makan di ruang tamu. Semasa itu, jurugambar Kamarulzaman belum naik lagi. Semasa saya duduk di meja makan, ASP Zulkarnain masuk ke dalam bilik tidur utama rumah saya diikuti oleh C/I Koh Fei Chow, C/I Shawal, DSP Yusri, Sarjan Rosli dan Sarjan Zafri. Kemudian pintu bilik tidur utama ditutup. Kesemua mereka berada di dalam bilik tersebut dalam keadaan pintu bilik tertutup selama hampir sepuluh minit sementara saya dan Korporal Chiam masih duduk di ruang meja makan. Semasa pintu bilik masih tertutup, jurugambar Kamarulzaman naik ke rumah saya dan masuk ke ruang tamu. UPB juga naik ke atas tetapi tidak masuk ke dalam rumah. Lebih kurang sepuluh minit kemudian, pintu bilik tidur utama dibuka dan saya nampak DSP Yusri, Sarjan Rosli dan Sarjan Zafri keluar dari bilik tersebut membawa satu beg besar dan dua beg yang lain keluar dari rumah saya. Pintu bilik tidur utama ditutup semula. Lebih kurang 3 minit kemudian, ASP Zulkarnain membuka pintu bilik utama dan memanggil saya masuk.
Saya dan Korporal Chiam masuk ke dalam bilik itu dan saya telah diarahkan untuk berdiri di sebelah almari pakaian saya. ASP Zulkarnain kemudiannya memanggil masuk jurugambar Kamarulzaman yang berada di luar bilik. Di dalam bilik itu, ASP Zulkarnaian berkata, “Ini jaket kamu, kamu pegang”. Semasa itu, jurugambar dipanggil dan aksi-aksi yang diarahkan oleh ASP Zulkarnain untuk saya lakukan telah dirakam oleh jurugambar. Semasa saya mula masuk, saya nampak keadaan cadar katil saya berselerak, pintu almari sedia terbuka dan kipas di ceiling sedia berpusing. Apabila ASP Zulkarnaian minta saya pegang jaket, saya pun pegang dan ASP Zulkarnain dalam masa yang sama panggil masuk jurugambar Kamarulzaman. Sementara Kamrulzaman sedang masuk, saya lepaskan memegang jaket tersebut. Setelah Kamarulzaman masuk, saya pegang semula jaket tersebut dan gambar saya memegang jaket tersebut diambil oleh Kamarulzaman. Sambil memegang jaket tersebut, saya tidak berkata apa-apa.Setelah itu, saya diarahkan berdiri di sisi katil. Saya lihat ASP Zulkarnaian keluarkan jaket yang saya pegang tadi dari dalam almari dan mengambil sesuatu keluar dari dalam jaket. Jaket itu dibentangkan di atas katil dan ASP Zulkarnaian meletakkan barang-barang di atas jaket tersebut. ASP Zulkarnain mengarahkan saya menunjukkan ke arah barang-barang tersebut. ASP Zulkarnain berkata, “kamu tunjukkan barang-barang itu”. Saya kata “apa ni Tuan”. Saya tidak mahu tunjukkan, ASP Zulkarnain minta saya tunjukkan juga sambil berkata “kamu tunjuk sajalah Sirul”. Barulah ketika itu saya tunjukkan sambil gambar saya itu diambil. Sambil menunjukkan jari tangan saya ke arah barang-barang tersebut, saya tidak berkata apa-apa. Selepas itu, saya diarahkan keluar duduk di meja makan. Semasa saya di dalam bilik tersebut sehinggalah saya dibawa keluar, mana-mana pegawai tidak ada membacakan saya apa-apa “Amaran”. Selepas itu, dari rumah saya, saya terus dibawa balik ke Bukit Aman.
Sebelum saya mengakhiri kenyataan ini, saya ingin menyatakan bahawa saya tidak pernah mengenali mangsa di dalam kes ini dan tidak pernah mempunyai sebarang urusan peribadi mahupun sebaliknya dengan beliau. Saya juga tidak mengenal Abdul Razak Bin Abdullah dan tidak pernah mempunyai sebarang urusan dengan beliau sebelum kes ini. Saya merayu kepada Mahkamah ini untuk mengambil kira bahawa sepanjang perbicaraan ini, saya telah mengikuti presiding ini dan menyaksikan bagaimana beberapa saksi penting pendakwaan terutamanya saksi-saksi dari D9 IPK yang mereka-reka cerita, tidak bercakap benar dan sentiasa merubah-ubah cerita mereka bila disoal balas. Saya melihat keadaan ini dengan keprihatinan kerana bagi saya tindakan mereka ini semata-mata bertujuan untuk mendapatkan sabitan terhadap saya sebagai “kambing hitam” yang harus dikorbankan untuk melindungi rancangan dan niat jahat mereka yang tidak berada di dalam Mahkamah ini untuk menghadapi natijah daripada perlakuan dan perancangan mereka. Saya tidak mempunyai sebarang sebab untuk mencederakan apatah lagi mengambil nyawa mangsa dengan begitu kejam. Saya merayu kepada Mahkamah ini yang kini berada di dalam kedudukan dan mempunyai kuasa untuk menentukan hidup dan mati saya, agar tidak menghukum saya sekaligus menyempurnakan perencanaan mereka terhadap saya.
Kenyataan dari Kandang Tertuduh,
tt.
SIRUL AZHAR BIN HAJI UMAR”